AMSTERDAM, BELANDA – Belanda menjadi salah satu negara terawal di dunia yang menjadikan polisi bekerja dari rumah sebagai hak di sisi undang-undang susulan kelulusan Parlimen, lapor laman berita Wion News.
Menurut agensi berita Bloomberg, rang undang-undang bekerja dari rumah itu diluluskan Dewan Rendah pada Selasa lalu.
Ia kini hanya memerlukan kelulusan Senat Belanda sebelum dilaksanakan.
Berdasarkan undang-undang tersebut, majikan perlu membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah selagi mana bersesuaian dengan profesion mereka.
Bekerja dari rumah merupakan polisi membenarkan kakitangan untuk bekerja dari mana sahaja dan mereka tidak perlu pergi ke tempat kerja konvensional seperti bangunan pejabat atau gudang.
Pandemik Covid-19 telah mengubah rutin bekerja dengan ramai kakitangan mahu mengekalkan fleksibiliti yang telah dinikmati sepanjang dua tahun lalu.
Bagaimanapun, kebanyakan majikan kini mengarahkan pekerja untuk kembali bekerja di pejabat selepas keadaan ekonomi kembali terbuka.
Ia didorong oleh program vaksinasi seluruh dunia yang telah berjaya mengawal penularan Covid-19. – Agensi