fbpx

Orang Jawa kaut untung jual burasak Bugis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maznah menunjukkan burasak yang siap dibungkus menggunakan daun pisang nipah muda ketika ditemui di Kota Tinggi baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Seorang bekas guru tadika meraih pendapatan sehingga RM10,000 dengan hanya menjual burasak yang dijadikan sebagai pendapatan baharunya selepas bersara 10 tahun lalu.

Maznah Aripin, 66, berkata, burasak yang dibuat sering mendapat tempahan yang banyak terutama pada musim perayaan.

Katanya, sepanjang Syawal lalu dia berjaya menyiapkan sebanyak 1,000 bungkus burasak untuk pelanggannya.

“Syawal lalu memang tak menang tangan lebih-lebih kita semua menyambut hari raya secara mengejut.

“Syawal lalu saya memang tumpu menyiapkan tempahan pelanggan sahaja dan tidak beraya, kira-kira 50 kilogram beras habis digunakan untuk buat burasak. Setiap bungkus dijual pada harga RM12 dan diskaun RM2 jika dibeli ba­nyak,” katanya ketika ditemui di Bandar Tenggara di sini.

Ibu kepada empat orang itu berkata, dia mula membuat burasak selepas mempelajarinya daripada jiran di kampung yang merupakan orang Bugis.

Katanya, minat membuat burasak juga disebabkan suaminya, Abd. Nasir Bedu, 66, gemar memakannya berbanding ketupat.

Menurutnya, meskipun dia merupakan keturunan Jawa, namun setiap kali hari raya dia akan menjadikan burasak sebagai menu untuk diberikan kepada jiran-jiran dan bukan ketupat sebagai pilihan.

“Saya orang Jawa dan kami dah terbiasa dengan ketupat tapi di kejiranan di sini saya sahaja yang buat burasak.

“Burasak ini biasanya dimakan dengan asam pedas ikan parang, ikan caru masak cuka juga sambal tumis udang.

Maznah berkata, dia menggunakan daun pisang nipah muda untuk membuat burasak kerana selain tebal, daun tersebut juga tidak mudah pecah apabila direbus.

Katanya, proses merebus mengambil masa tujuh jam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI