KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mengorak langkah dalam misi membangunkan bakat-bakat muda menerusi jalinan kerjasama dengan Sekolah Badminton Ban Thong Yord (BSS) berpangkalan di Bangkok, Thailand.
Kedua-dua pihak memeterai perjanjian persefahaman selama lima tahun dengan KLBA menyasarkan untuk menghantar lima pemain terbaik persatuan itu selama sebulan selepas ini.
Presiden KLBA, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berharap, ia akan menjadi titik mula buat persatuan untuk melahirkan pemain-pemain yang lebih berkualiti selaras dengan misi barisan kepimpinan baharu persatuan itu.
“Kita berharap untuk bekerjasama dengan lebih banyak lagi kelab-kelab badminton dari luar negara dengan hasrat berkongsi idea dan pandangan terutama sistem latihan pemain-pemain muda kita.
“Kami cuba menerokai peluang bekerjasama dengan kelab-kelab persendirian di luar negara dan ini peluang terbaik buat kami.
“Pada masa sama dapat menyuntik idea baharu kepada barisan kejurulatihan,” kata Jahaberdeen pada sidang akhbar majlis pengumuman kerjasama antara KLBA dan BSS di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
BSS adalah kelab badminton pertama ditubuhkan di Thailand pada 1991 dan telah melahirkan jaguh badminton Thailand iaitu pemain No.8 wanita dunia, Ratchanok Intanon dan tiga kali juara remaja dunia lelaki, Kunlavut Vitidsarn.
Sebagai rekod, kerjasama antara KLBA dan BSS merupakan cetusan idea daripada Pengerusi Kejurulatihan dan Latihan KLBA, Datuk Razif Sidek ketika membuat kunjungan ke Thailand empat tahun lalu. – KOSMO! ONLINE