KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak wanita negara memperoleh pengajaran berguna pada penampilan di Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) selepas tunduk 4-0 kepada Filipina pada aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Rizal Memorial, sebentar tadi.
Seperti dijangka, Filipina yang mencipta kejutan ke atas Australia pada aksi pertama nyata pasukan lebih berkualiti dan mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.
Bagaimanapun, pengendali negara, Jacob Joseph wajar berterima kasih kepada penjaga gol, Azurin Mazlan yang pamer aksi cemerlang untuk menafikan banyak percubaan lawan.
Selepas dilihat berdisiplin ketika melakukan tugasan bertahan sepanjang 30 minit pertama, Sara Kristine Bantan akhirnya menceriakan tuan rumah selepas menghasilkan gol pertama Filipina menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-34.
Sejurus itu, pemain negara menyerlahkan kemahuan untuk memburu gol penyamaan sebaliknya minit ke-43, gawang negara bocor buat kali kedua dan kali ini giliran Katrina Jacqueline Rivera cipta nama selaku penjaring.
Dua minit selepas aksi bersambung, Filipina makin selesa apabila Quinley Mirielle Campomanes meledak gol ketiga diikuti jaringan keempat menerusi Anacki Chabeli Arrieta pada minit ke-72.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara menghuni tangga keempat, mengutip dua mata hasil keputusan seri dengan Singapura dan Indonesia. – KOSMO! ONLINE