KLANG – Lima balai bomba dikerah bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang memproses perabot di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini, petang tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku selepas 60 pekerja pulang bekerja di premis tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 27 anggota termasuk pegawai bersama tujuh jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.34 petang.
Katanya, kesemua anggota terlibat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Andalas, Kota Anggerik dan Kota Raja.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan kilang memproses perabot yang juga bangunan kelas A.
“Kebakaran itu berjaya dikawal pukul 7.44 petang dan melibatkan 70 peratus kemusnahan,” katanya ketika dihubungi malam hari ini.
Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua pekerja keluar dari kilang itu pukul 5 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan setakat pukul 8.38 malam tadi dan operasi pemadaman keseluruhan premis turut masih dijalankan sehingga kini,” katanya. – KOSMO! ONLINE