PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Kubu Bharu melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan minyak masak paket dan botol menerusi Ops ATM semalam.
Pemeriksaan tersebut telah dijalankan secara spesifik di lokaliti Kuala Kubu Bharu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kubu Bharu, Mohd. Noor Md. Rejab berkata, pihaknya turut memeriksa situasi kedudukan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol bagi memastikan harga jualan adalah berpatutan.
“Berdasarkan rekod, tiada sebarang notis dikeluarkan lagi oleh KPDNHEP Kajang terhadap mana-mana peniaga melibatkan item minyak masak sawit tulen dalam botol.
“Hasil pemeriksaan pada hari ini (semalam), mendapati kedua-dua premis berkenaan mempunyai stok yang mencukupi (berdasarkan deklarasi yang dibuat oleh pemilik premis selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 8, Akta Kawalan Bekalan 1961),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mana-mana peniaga yang didapati berbuat demikian akan diberi notis dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Pihak KPDNHEP Selangor tegas memberi amaran kepada individu dan syarikat agar tidak terbabit dengan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan,” ujarnya.
Tambahnya, anggota penguat kuasa KPDNHEP juga sentiasa berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan. – KOSMO! ONLINE