KUALA LANGAT – Kesemua enam lelaki warga asing yang terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) malam tadi dikatakan baharu pulang selepas berniaga di Nilai, Negeri Sembilan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, tiga warga asing maut manakala empat lagi termasuk seorang warga tempatan cedera parah. Kesemua mangsa berusia 25 hingga 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor@Saleh berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati enam lelaki warga asing itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pelabuhan Klang.
Katanya, mereka yang menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Unser milik majikan adalah dari Nilai, Negeri Sembilan atas urusan perniagaan.
“Kenderaan dinaiki warga asing itu kemudiannya bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV.
“Tiga penumpang Toyota Unser itu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, Ahmad Ridhwan meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman ditalian 017-3012621 atau 03-31872222.
Kosmo! terdahulu melaporkan tiga warga asing maut manakala empat parah selepas terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di SKVE berhampiran Pulau Carey di sini malam tadi. -KOSMO!ONLINE