oleh AMRAN MULUP
MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka meneruskan taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres untuk mengesan sebarang kesalahan dalam operasi khas sempena Hari Raya Aidiladha.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, taktik itu dilihat sangat berkesan dalam memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya dan keselamatan penumpang terjamin.
Katanya, taktik penyamaran sama juga digunakan untuk mengesan pemandu dan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan.
“Tradisi balik kampung sempena musim perayaan ini sebenarnya menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya dan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya.
“Jadi, sepanjang musim ini kita akan meningkatkan penguatkuasaan penyamaran yang sebelum ini berjaya mengesan pelbagai kesalahan membabitkan pemandu bas ekspres, pemandu kereta serta penunggang motosikal,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran operasi khas sempena Hari Raya Aidiladha di Terminal Bas Melaka Sentral di sini, semalam.
Tambahnya, seramai 40 penguatkuasa akan turut digerakkan untuk memantau semua kawasan berisiko di seluruh negeri ini termasuk Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
Terdahulu, dalam pemeriksaan itu JPJ telah mengeluarkan sebanyak 25 notis saman atas kesalahan tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, lesen memandu tamat tempoh dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. -KOSMO! ONLINE