DIAM tak diam, sudah lima tahun pelakon Jeon So-min menjadi ahli tetap program fenomena kesukaan ramai, Running Man.
Tetapi, sehingga ke hari ini, masih ada yang tidak berpuas hati dengan penyertaan wanita itu selain sering menerima komen-komen buruk daripada netizen.
Biarpun menjejaskan imej dan membuatkan pelakon itu hilang motivasi, kritikan serta kutukan negatif tersebut turut mematangkan So-min untuk terus kuat seperti biasa.
Terbaharu, salah seorang anggota lain iaitu HaHa ada memuat naik sebuah video pendek bersama So-min yang menunjukkan mereka rancak bergurau sambil bermain tarik kaki dalam salah satu babak penggambaran.
Pun begitu, momen gembira tersebut dicemari segelintir komen nista yang dilemparkan netizen.
“Tolong segera keluar dari Running Man. Kami tak suka kamu. Tolonglah sedar diri,” tulis salah seorang netizen.
Rentetan komen negatif tersebut, ramai pengikut HaHa dan peminat So-min menyerang serta mengutuk tindakan lelaki itu yang disifatkan sebagai keterlaluan.