MOSCOW – Russia menjana pendapatan AS$24 bilion (RM106.25 bilion) hasil jualan tenaga kepada China dan India dalam tempoh tiga bulan selepas menceroboh Ukraine, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Keadaan itu berlaku kerana harga tinggi tenaga global mengekang usaha Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk menghukum Presiden Vladimir Putin.
Data terkini kastam menunjukkan China membelanjakan AS$18.9 bilion (RM83.67 bilion) untuk mendapatkan bekalan minyak, gas dan arang batu dari Russia dalam tempoh tiga bulan setakat akhir Mei lalu, hampir dua kali ganda berbanding jumlah pada tahun sebelumnya.
India pula berbelanja AS$5.1 bilion (RM22.57 bilion) untuk import tenaga Russia dalam tempoh sama.
China merupakan pengimport tenaga terbesar dunia dan mempunyai saluran paip khas untuk minyak dan gas Siberia.
Walaupun penggunaan tenaganya berkurangan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini disebabkan sekatan pandemik Covid-19, Beijing berbelanja lebih banyak tenaga dari Russia disebabkan harga tenaga global yang lebih tinggi.
Syarikat-syarikat India juga memilih minyak Russia walaupun Moscow dikenakan sekatan oleh Barat kerana menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.
Perkembangan itu menyaksikan Russia berjaya meneruskan eksport minyaknya walaupun berdepan sekatan oleh Barat.
Akibat tertarik dengan diskaun yang ditawarkan, tiga syarikat penapis minyak India termasuk Indian Oil Corp dan telah membuka rundingan dengan syarikat minyak Russia, Rosneft awal tahun ini untuk bekalan selama enam bulan. – Agensi