SUSUN katanya ketika membicarakan isu kesihatan wanita hamil begitu lemah lembut dan begitu tersusun biarpun dalam nada tegas dan penuh wawasan.
Mengenali wanita di sebalik tersergam indahnya Klinik Siti, Datin Seri Dr. Yetti Murni Zamris, tidak hairanlah jika klinik tersebut begitu popular dalam kalangan wanita, terutamanya yang tinggal sekitar Lembah Klang.
Mana tidaknya, klinik kesihatan yang bertemakan rona merah putih itu merupakan salah satu lokasi popular buat ibu hamil menjalani pemeriksaan pranatal.
“Ketika saya bertugas dengan Kementerian Kesihatan sebagai doktor perubatan di sebuah Klinik Kesihatan beberapa tahun lalu, saya sering diterapkan dengan Millennial Delevopment Good (MDG 5) oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).
“Menerusi MGD5, WHO menetapkan bahawa jika satu-satu negara mahu menjadi negara maju, mereka mesti mempunyai sifar maternal death. Maksudnya di sini, tidak boleh ada ibu mengandung, mahupun kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan di dalam kandungan yang meninggal dunia.
“Masa itu, saya berasakan Malaysia masih jauh lagi untuk mencapai status tersebut. Tambahan pula dengan masalah yang dihadapi oleh wanita hamil itu sendiri.
“Mereka mahu menjalani pemeriksaan pranatal, tetapi tidak boleh melakukannya atas faktor-faktor tertentu,” katanya memulakan bicara.
Bertugas di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak-Anak di Alor Gajah, Melaka dan Putrajaya di awal kerjayanya dalam bidang perubatan membuatkan wanita ini begitu dekat dengan wanita hamil.
Bahkan beliau mampu menyelami masalah dialami oleh golongan berkenaan, terutamanya ibu-ibu yang bekerja dalam penjagaan kandungan.
Atas faktor tersebut, wanita ini berazam untuk mahu memfokuskan rawatan pranatal.
“Asalnya klinik ini dimiliki oleh ibu mentua saya. Bagaimanapun disebabkan pada waktu itu dia sudah terlalu berusia, saya mula mengambil alih bersama suami, pada tahun 2016.
“Hanya dibuka di Banting, Selangor sahaja dengan kelengkapan klinik yang asas dan perlu diperbaiki ketika itu.
“Saya mengusulkan kepada suami untuk memfokuskan rawatan pranatal dan dipersetujui oleh beliau yang kemudian mula membeli kelengkapan rawatan pranatal dan dari situlah, bermulanya kami sebelum klinik ini kemudian dikembangkan kepada 55 buah cawangan lain.
“Pernah bertugas di klinik kesihatan, apa yang saya mahu adalah kedua-dua sektor ini mempunyai hubungan yang baik dan sama-sama membantu dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.
“Biarpun pelbagai cabaran yang dihadapi, alhamdulillah, kami kini mendapat kepercayaan daripada doktor-doktor daripada klinik kerajaan,” jelasnya.
Misinya jelas, mahu memberikan penjagaan pranatal yang baik buat wanita hamil.
Bukan itu sahaja, Dr. Yetti Murni juga mahu mewujudkan suasana persekitaran yang selesa dan mesra aurat dalam kalangan pesakit.
Lantaran itu jugalah, beliau hanya mengambil doktor-doktor wanita yang bertauliah bertugas di kliniknya.
Biarpun mengakui ada yang menyifatkan dirinya seksis, namun wanita itu langsung tidak mengendahkan kata-kata tersebut dan menganggapnya sebagai satu cabaran.
Bahkan mereka berjaya melangkah setapak demi setapak ke hadapan dengan pelbagai anugerah berjaya dimenangi.
Berkongsi lanjut menurutnya lagi, bergaul dengan ibu hamil lebih sedekad lalu membuatkan beliau menyedari penyakit kencing manis merupakan masalah sering berlaku dalam kalangan wanita hamil di negara ini.
“Semua ini berpunca daripada faktor pemakanan. Tidak dinafikan wanita hamil mempunyai keinginan untuk menikmati satu-satu jenis makanan tertentu.
“Wanita hamil perlu bijak mengawal keinginan dan ambil berat soal pemakanan. Ini kerana, jika masalah kencing manis melarat, ia boleh membahayakan kandungan dan mengakibatkan kecacatan kepada bayi.” tambahnya.
Sebagai wanita yang berkerjaya, kejayaan dicapai oleh Dr. Yetti Murni ini sememangnya dikagumi oleh wanita-wanita lain, sehingga ada yang menjadikan beliau sebagai inspirasi.
Begitu merendah diri, ibu kepada empat orang cahaya mata ini berkata, dia bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang bagus.
“Tidak dinafikan, setiap wanita mahu menjadi seorang super women yang boleh melakukan apa sahaja. Bagaimanapun, tidak salah sekiranya wanita itu meminta bantuan dalam menguruskan kehidupan harian.
“Saya bersyukur kerana Allah datangkan seorang suami yang begitu menyokong apa yang saya lakukan, selain pembantu yang baik dan mampu menjaga anak-anak dengan sempurna.
“Berdirinya saya di sini adalah dengan bantuan mereka dan saya tidak lakukannya seorang diri.
“Tanpa mereka, saya tidak mampu melakukannya,” ujarnya.