PASIR PUTEH – Masjid Mukim Kampung Wakaf di sini memberikan sagu hati berbentuk wang tunai RM5 kepada kanak-kanak dan remaja yang hadir menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid berkenaan sebelum ke sekolah.
Program Anak Muda Mengimarahkan Masjid yang dicetuskan oleh Saiful Amri Razali, 47, itu secara tidak langsung telah berjaya mendekatkan golongan tersebut dengan masjid.
Imam Muda Masjid berkenaan, Abdul Ghafar M. Salleh berkata, hebahan berhubung perkara itu dibuat oleh imam ketika khutbah Jumaat lalu.
Menurutnya, situasi itu telah menghidupkan suasana solat subuh dengan penambahan jemaah yang lebih ramai khususnya remaja dan kanak-kanak.
“Mereka perlu mendaftar kehadiran di pintu utama masjid sebelum mendirikan solat subuh secara berjemaah. Kebanyakan kanak-kanak dan remaja ini terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Maharaja dan SMK Padang Pak Amat.
“Wang itu diagihkan oleh bilal masjid Hussin Junuh, 64. Semua sumbangan itu tidak menggunakan wang daripada tabung masjid,” katanya.
Menurut Abdul Ghafar, pada solat subuh Sabtu lalu, hanya 13 kanak-kanak hadir, namun jumlah tersebut meningkat kepada 36 orang semalam.
Sementara itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang kepada akaun Bank Islam Tabung Masjid Mukim Kampung Wakaf, 03090020266346 atau hubungi Saiful Amri di talian 017-205 6501.