MUNICH – Kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich akhirnya mengesahkan tidak berminat dan menutup segala ‘pintu’ mengenai spekulasi penghijrahan penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan kali ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn yang berpendapat kehadiran Ronaldo mungkin boleh menjejaskan keharmonian serta falsafah bola sepak yang cuba diterapkan oleh skuad kendalian Julian Nagelsmann pada masa akan datang.
“Secara jujur, saya antara peminat Ronaldo dan anggap dia salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman. Namun, dia tidak akan berhijrah ke sini kerana corak permainannya tidak sesuai dengan falsafah bola sepak kami,” kata Kahn.
Sebagai rekod, Ronaldo yang kini berusia 37 tahun telah menyatakan hasrat untuk berhijrah kepada pihak pengurusan sekali gus ‘mogok’ daripada menghadiri sesi latihan pramusim kendalian pengendali baharu, Erik Ten Hag bermula awal minggu ini.
Meskipun berjaya mempamerkan prestasi cemerlang bersama The Red Devils selepas meledak 24 gol dalam semua kejohanan musim lepas, pemain antarabangsa Portugal itu tidak gembira dengan United yang terlepas slot automatik ke kancah Liga Juara-Juara.
Bayern sebelum ini dilaporkan menjadi salah satu kelab yang bakal menjadi destinasi baharu buat Ronaldo bagi saingan musim depan untuk menggantikan posisi penyerang utama, Robert Lewandowski yang mahu berhijrah pada jendela perpindahan kali ini.
Selain kelab The Bavarian, beberapa kelab utama Eropah yang dikatakan mampu untuk menampung permintaan gaji tinggi yang dituntut oleh Ronaldo adalah Chelsea, Barcelona dan Napoli dengan perbincangan sedang giat dilakukan oleh ejen peribadinya, Jorge Mendes. – AGENSI