fbpx

Ada masa, mak sampai lupa nama saya sebab sakit – Fikry Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON dan pengacara, Fikry Ibrahim tidak kisah berulang-alik Kedah-Kuala Lumpur demi menjaga ibu tersayang, Bibi Zaleha yang menghidap penyakit strok.

PETALING JAYA – Diuji Ilahi apabila ibu, Bibi Zaleha, 74, diserang penyakit strok tahun lalu, pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim tidak kisah berulang-alik Kedah-Kuala Lumpur demi memastikan kesihatan wanita kesayangan itu dalam keadaan baik.

Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim percaya, duit boleh dicari namun kasih sayang seorang ibu melangkaui segala-galanya.

“Masih jaga mak, ulang alik KL-Kedah. Contoh macam program Dewi Remaja ini saya jadi pengacara, kalau boleh bawa dia ke KL, saya bawa.

“Kalau drama atau membabitkan lakonan, saya tak boleh. Memang kena tinggal di kampung (Jitra) saya ulang-alik jaga dia atau di Ipoh (mak cik saya jaga),” katanya.

Fikry ditemui Kosmo! Online semalam pada sidang media Dewi Remaja 2022 yang menyaksikan dirinya diberi kepercayaan sebagai pengacara program realiti tersebut.

Berbicara lanjut tentang kondisi ibunya yang semakin uzur, air mata Fikry tumpah mengenangkan orang yang paling disayanginya kini, tidak mempunyai kudrat seperti dahulu.

Dedah pelakon drama rantaian, Nusyuz Berkiblat Cinta itu, ada satu tahap, ibunya sampai tidak lagi mengingati namanya.

“Penat memang penatlah tapi, sedih juga sebab saya rasa sejak kecil saya dibesarkan mak saya sahaja.

“Apabila saya dah besar sekarang, takkan saya nak ‘ambil’ duit sahaja dan tak pilih dia kan. Kadang-kadang balik dari KL malam esok terus ‘shoot’ balik kampung, rasa nak pengsan pun ada.

“Tapi dia mak saya dan senang cerita saya rasa sekarang kalau orang tanya saya, duit tak boleh beli kebahagiaan, saya percaya memang percayakan kenyataan tersebut.

“Kalau satu hari dia sudah tiada, duit saya saya kerja semua itu, sia-sia dan tiada makna,” luahnya seraya air matanya tumpah berkongsikan kata-kata itu.

Memperincikan keadaan ibunya sekarang, Fikry, 28, berkata: “Saya dah kurang main media sosial sebab saya banyak bahagikan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Bermaksud, saya lebih fokus kepada mak saya.

“Dan, apabila dia sakit dan patah balik ke zaman dia muda, ingatan dia dah tak macam dahulu. Ada satu masa itu, dia pernah lupa nama saya. Sepanjang saya hidup, mak saya tak pernah lupa nama saya.

“Semasa dia sakit pertama kali kena minor stroke, saya dah tak nak benda itu jagi lagi dah. Selagi dia hidup, saya nak jaga dan tak nak menyesal suatu hari nanti.

“Isteri saya boleh ganti, kawan saya boleh cari, anak boleh buat baharu tapi ibu tetap satu-satunya,” katanya beremosi namun penuh makna.

Terdahulu sekitar Mac 2021, Fikry mendedahkan kepada media bahawa dirinya terpaksa menunda segala komitmen kerja di ibu kota demi menjaga ibu tersayang di Jitra, Kedah yang diserang strok atau angin ahmar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI