fbpx

Harga stik itu biasa, mata wang kita yang rendah – Aeril Zafrel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AERIL ZAFREL menafikan sengaja mempamerkan kehidupan medwah dalam media sosial.

PETALING JAYA – Menepis dakwaan keterlaluan menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah dalam media sosial, pelakon dan usahawan terkenal, Aeril Zafrel mengakui tidak dapat menutup mulut orang dan hanya mahu menikmati kehidupannya dengan keseronokan.

Katanya, jika seseorang itu terlalu berkira-kira dalam perbelanjaan, percutian yang dirancang akan menjadi kurang menyeronokkan termasuklah mengenai cerita tular harga stik mewah yang dibayarnya baru-baru ini.

Bagi pelakon berusia 32 tahun itu, jumlah bil hidangan stik dibayarnya di restoran mewah Salt Bae di London, United Kingdom baru-baru ini adalah harga normal di negara tersebut.

“Sebenarnya harganya biasa sahaja di UK tetapi disebabkan mata wang kita rendah, itu yang jadi mahal.

“Untuk orang di UK, harga stik berjumlah £1,000 (RM5289,07) biasa sahaja,” katanya.

Aeril berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar dan tayangan filem Musyrik lakonannya di TGV One Utama di sini semalam.

Dedah pemilik nama penuh Suhairil Sunari itu, terdapat beberapa caj tambahan lain dikenakan dalam bil hidangan mereka seperti servis tabur garam oleh Salt Bae.

“Dalam bil RM10,000 itu pun ada juga caj tersembunyi lain seperti dia tabur garam dan potong daging pun turut dikenakan bayaran tambahan lain berjumlah RM1,000.

“Saya memang agak harganya mahal sekitar RM7,000 hingga RM8,000 tetapi tidaklah jangka boleh mencecah RM10,000,” katanya lagi.

Tidak serik dengan jumlah bil yang disamakan dengan wang hantaran, pelakon filem Sabda Cinta itu mengakui tidak keberatan untuk menikmati lagi hidangan stik di restoran sama sekiranya melancong ke luar negara kelak.

“Untuk momen tersebut, bukan senang nak makan di restoran Salt Bae sebab dia antara cef terkenal di dunia dan rugi jika tak jumpa depan mata.

“Restorannya ada di beberapa buah negara lain seperti Dubai dan Turki. Jika saya ke Turki, mungkin akan ke restorannya lagi.

“Sebab stiknya sangat sedap. Saya tak pernah makan stik sesedap itu,” akuinya.

Ujarnya, percutian ke Eropah baru-baru ini sepatutnya tidak perlu dijadikan isu memandang sudah lebih dua tahun itdak dapat melancong ke luar negara.

“Bukannya semua pakai duit sendiri, kebanyakannya dikongsi bersama dengan kawan lain. Dua tahun tak dapat melancong ke luar negara jadi kita nikmatinya sebaik mungkin.

“Mungkin status saya selebriti, itu yang jadi isu. Bukan nak menunjuk tetapi saya nak simpan momen itu dalam media sosial.

“Bayangkan telefon bimbit saya hilang, tak dapat tengok semua kenangan itu semula. Kalau muat naik dalam media sosial, semua momen itu tersimpan dalamnya,” ujarnya lagi.

Pada 16 Jun lalu, Aeril mencuri perhatian ramai apabila memuat naik video dia membayar bil hidangan stik berjumlah RM10,000 di restoran mewah milik cef terkemuka, Salt Bae.

Hantaran tersebut seterusnya mendapat perhatian ramai sehingga ada yang menyamakan bayaran tersebut sama dengan duit hantaran kahwin dan jumlah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI