fbpx

Cuba seludup 3.37 tan daun ketum guna lori sejuk beku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nasir (kiri) menunjukkan lori sejuk beku membawa muatan sebanyak 3.37 tan daun ketum yang ditahan di Kampung Batu Melintang, Jeli semalam. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Taktik seorang lelaki menggunakan sebuah lori sejuk beku untuk membawa masuk sebanyak 3.37 tan daun ketum bernilai RM33,700 ke negeri ini gagal selepas anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan kenderaan tersebut di Kampung Batu Melintang, Jeli semalam.

Dalam rampasan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek yang merupakan pemandu lori berusia 40 tahun dicekup selepas anggota JKDM mengekori kenderaan tersebut sejauh 50 kilometer yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, semasa tiba di Kampung Batu Melintang, pihaknya terus menahan lori itu dan memeriksa bahagian muatan kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian tersebut telah menemui sebanyak 337 bungkusan plastik hitam mengandungi 3.37 tan daun ketum yang disembunyi di sebalik kotak kosong.

“Siasatan awal mendapati, kesemua daun-daun ketum itu dari sebuah negeri di utara tanah air dan ia dipercayai akan dijual untuk pasaran di Kelantan. Kita juga tidak menolak kemungkinan daun ketum itu akan diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Nasir, suspek bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan JKDM.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan lain, Mohd.Nasir berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, JKDM Kelantan telah merampas sebanyak 664 kilogram daun ketum bernilai RM12,175 membabitkan dua rampasan yang dipercayai diseludup masuk ke negeri ini.

Tambahnya, beliau menasihatkan orang ramai agar membantu JKDM untuk memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI