fbpx

Galas tugas jaga lima anak buah kehilangan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Khairudin (kanan) merayu bantuan orang ramai untuk membesarkan lima anak buahnya yang menjadi anak yatim ketika ditemui di Jenderam Hilir, Dengkil baru-baru ini.

DENGKIL – Sepasang suami isteri dianggap berhati mulia apabila sanggup membela lima beradik yang kematian ibu akibat Covid-19 tahun lalu meskipun berdepan dengan kekurangan sumber pendapatan untuk membesarkan anak yatim tersebut bersama dua lagi zuriat mereka.

Mohamad Khairudin Mat Zin, 41, berkata, dia terpanggil untuk membawa lima anak arwah adik isterinya itu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Jenderam Hilir, Dengkil demi masa depan mereka.

Katanya, ibu lima beradik itu dijangkiti Covid-19 ketika adik bongsu mereka berusia 36 minggu dalam kandungan. Anak yatim itu berusia antara 11 bulan hingga 14 tahun.

“Selepas doktor mengeluarkan bayi, adik ipar saya ditidurkan sebelum meninggal dunia pada 3 September 2021. Dari pengamatan saya, kehidupan anak buah saya itu agak susah dan saya terus tawarkan diri untuk membela mereka demi masa depan ma­sing-masing.

“Ketika ibu mereka di hospital, ada jiran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu kerana ketika itu saya tidak boleh merentas negeri untuk melihat mereka,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut penyelia tapak di Bangi itu, pada mulanya mereka mahu mengambil dua daripada lima beradik itu, namun selepas berbincang dengan isterinya, mereka membuat keputusan menjaga kesemua mereka.

Tambahnya, dia berusaha mencari sekolah yang sesuai untuk si abang yang OKU pembelajaran dan dia tidak sabar untuk masuk ke asrama bertemu dengan kawan-kawan.

“Pada mulanya sukar untuk memikul tanggungjawab itu ke­rana kami tidak mempunyai surat hitam putih sebagai penjaga.

“Alhamdulillah, kini kami sudah mendapat perintah mahkamah untuk menjaga salah seorang anak buah dan sedang berusaha mendapatkan untuk yang lain bagi memudahkan segala urusan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khairudin berkata, dia mempunyai dua anak berusia enam dan 10 tahun dan mengakui perbelanjaan turut bertambah selepas membela lima anak buahnya itu.

“Kami perlu hadap juga ke­rana memikirkan masa depan mereka berlima dan tak mahu perpisahan berlaku.

“Kami ada juga dapat sumbangan daripada ahli keluarga, saudara-mara, kawan dan jiran selain JKM yang sedikit seba­nyak dapat meringankan beban kami,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Khairudin merayu orang ramai supaya membantunya dari segi kewangan dan barangan keperluan demi menyara lima beradik berkenaan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ban­tuan ke akaun Maybank di nombor 153047015354 atau menghubu­ngi Mohamad Khairudin di talian 019-223 4512.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI