PETALING JAYA – Selepas sah berpisah dengan bekas suaminya sekitar Februari lalu, penyanyi Shila Amzah sering ditebak soalan berkait kisah hati dan calon baharu dalam hidupnya.
Bagaimanapun, ada yang menuduh Shila ‘gatal’ dan tidak matang kerana sering bercakap soal jodoh secara terbuka memandangkan usia perceraiannya masih awal.
Enggan melayan segala tohmahan yang dilemparkan netizen terhadapnya, penyanyi berusia 32 tahun itu menjawab, dia sebenarnya sudah lali berdepan dengan kata-kata kecaman.
“Orang tanya, saya jawab jelah. Sebab saya dalam keadaan agak bahaya sekarang. Saya tak ‘filter’, jadi mungkin ada yang suka, mungkin juga tak.
“Dah 22 tahun dalam industri, sebenarnya saya dah penat. Malas nak layan. Bila ada yang kecam, orang itu dengki dan mungkin dia tak gembira dengan hidupnya,” kata Shila.
Shila berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar drama Cinta Hilang Kata semalam yang turut menyaksikan dia menyanyikan runut bunyi drama berkenaan berjudul Bahagiakan Dia bersama Liza Hanim.
Tambah penyanyi Patah Seribu itu lagi, dia sentiasa bersedia andai kerap dilayangkan isu berkaitan jodoh kerana baginya, tiada soalan dalam dunia ini yang akan menakutkan dirinya.
“Sebenarnya saya dah bersedia dan tak ada apa-apa soalan dalam dunia ini akan menakutkan saya.
“Orang boleh tanya apa saja, saya akan jawab dan pilih keterbukaan untuk menjawab sama ada 70 atau 50 peratus. Tapi saya akan tetap jawab,” katanya.
Selepas lima bulan memegang status solo, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah mengakui dia tidak pernah sekali pun menutup pintu hati atau menolak untuk kembali hidup berpasangan.
Kata Shila, dia bagaimanapun sangat berhati-hati dalam soal pemilihan pasangan pada masa depan dengan memilih orang yang bekerja keras dan rajin.
“Dalam bidang muzik, saya pilih orang yang bekerja keras berbanding yang ada bakat. Jadi saya akan guna perkara yang sama dalam kehidupan peribadi.
“Contohnya kalau dia anak orang kaya tapi tak reti kerja dan mengharapkan ihsan ibu bapa, saya elak. Saya nak orang yang rajin.
“Saya tak nak orang yang tiada hala tuju dalam hidup dan tak tahu apa yang dia nak. Tiada matlamat hidup dan misi serta visi. Termasuklah orang yang tak bertanggungjawab atas hidup sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada 2018 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais. – KOSMO! ONLINE