IPOH – Sindiket nikah tanpa tauliah di sini yang didalangi ‘Ustaz Zul’ tumpas apabila diberkas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam serbuan di Chepor dekat sini baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 9.30 malam bersama 16 individu termasuk isteri dan anak kepada suspek.
Katanya, ketika serbuan dibuat, lelaki itu yang mendakwa dirinya adalah jurunikah bertauliah sedang menikahkan pasangan dari Klebang, Ipoh.
“Siasatan mendapati, pernikahan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama.
“Menerusi serbuan tersebut, kita telah merampas sebanyak 15 keping surat nikah Thailand yang dipercayai palsu atas nama pelbagai pasangan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, siasatan awal mendapati, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu perlu mengeluarkan belanja antara RM4,500 hingga RM6,000 bagi menguruskan pernikahan secara rahsia.
Katanya, sindiket berkenaan juga didapati mengeluarkan surat nikah Thailand disyaki palsu untuk mengaburi mata pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE