SHAH ALAM – Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia (PPTHM) Selangor akan membantu memantau isu penyembelihan haiwan ternakan seperti ayam dan lembu di negeri ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Suhaimi Hashim berkata, langkah itu bertepatan bagi memastikan umat Islam tidak was-was ketika membeli haiwan tersebut.
Katanya, Selangor sebagai negeri termaju sewajarnya mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memantau kegiatan penyembelihan itu.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membuat pemantauan di pusat penyembelihan dan pasar basah.
“Kursus penyembelihan sama ada untuk amalan rutin dan untuk korban akan diadakan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, PPTHM ditubuhkan pada 25 Jun lalu dianggotai oleh seramai 40 individu terdiri daripada penternak, pekerja pusat penyembelihan dan bekas kakitangan JAIS. – KOSMO! ONLINE