SHAH ALAM – Perbuatan seorang pesawah membuat hantaran jelik berhubung isu agama Hindu, tiga tahun lalu memakan diri apabila didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Syafiq Iqbal Mohammad Helmi, 31, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. OKS membayarnya.
Rasyihah dalam penghakimannya menegaskan agar hukuman itu dapat memberikan pengajaran berguna kepada OKS.
“Berharap selepas ini lebih berhati-hati menulis di multimedia (media sosial),” jelasnya.
Mohammad Syafiq Iqbal didakwa
menggunakan aplikasi Facebooknya secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 23 Disember 2019 kira-kira pukul 4.41 petang di sebuah syarikat telcom di Subang Jaya.
Anak ketiga dari lima beradik itu melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11 pagi pada 23 Disember 2019.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM50,000 atau keduanya-duanya sekali dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.
Peguam Nurul Ikrimah Mohd. Raya mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya merupakan bekas pelajar yang cemerlang sebelum ini sebelum mengalami kemurungan selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai.
“Bapa kandung OKS adalah pesara polis. Anak guam saya ketika ini membantu bapa tirinya melakukan kerja-kerja sawah.
“Selepas kejadian itu (buat hantaran jelik), dia langsung tidak mempunyai gajet termasuk telefon bimbit,” jelasnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani memohon hukuman setimpal susulan komen yang dibuat berkaitan agama dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Ini juga sebagai peringatan kepada OKS agar tidak mengulangi dan orang luar daripada melakuka perkara sama kerana kebarangkalian kesan tindakan tersebut sangat bahaya,” katanya. – KOSMO!ONLINE