PETALING JAYA – Pesakit kanser dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji palsu pengamal perubatan tradisional dan komplementari melalui testimoni yang meragukan.
Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr. Muhamad Yusri Musa berkata, setakat ini, rawatan saintifik dan perubatan moden merupakan rawatan utama disediakan oleh perkhidmatan kesihatan di negara ini yang mampu merawat kanser sehingga sembuh dan ini dibuktikan dengan kewujudan ramai pemandiri kanser.
“Negara kita sediakan pelbagai prasarana lengkap dengan teknologi terkini beserta doktor pakar pelbagai bidang yang terlatih dan mahir.
“Malah, Islam turut menganjurkan untuk mendapat rawatan yang terbaik daripada mereka yang terlatih dan pada masa sama pesakit dianjurkan untuk berterusan beramal dengan doa-doa yang sahih agar diberikan kesembuhan oleh Allah SWT,” katanya semalam.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan ada pesakit kanser dikesan sanggup ‘melarikan diri’ daripada doktor dan berjumpa bomoh yang telah memberi harapan palsu bagi menyembuhkan sakit dihadapi.