TEMERLOH – Seorang pekerja ladang cedera selepas dipijak sekumpulan gajah liar ketika sedang bekerja di Ladang Semantan Mentakab di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu mangsa, N. Arjunan, 55, mengalami patah pergelangan kaki kiri dan mengalami kecederaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kejadian berlaku dalam Ladang Semantan Mentakab yang bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul di sini.
“Selepas kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa menghubungi penolong pengurus ladang untuk mendapatkan bantuan dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Pejabat Perhilitan Temerloh menerima aduan berkaitan perkara tersebut pada pukul 4.15 petang dan dua staf bergegas ke lokasi kejadian,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan di lokasi kejadian terdapat sepasang kasut, topi dan sebotol air mineral mangsa serta terdapat kesan tapak gajah liar. – KOSMO! ONLINE.