PELAKON Jessica Iskandar menarik perhatian peminat selepas kembali langsing hanya dalam masa dua bulan selepas melahirkan cahaya mata keduanya pada 7 Mei lalu.
Ujar pelakon filem Dealova itu, dia telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak hampir 20 kilogram (kg) dengan mengamalkan pemakaian korset, sekali gus membantu mendapatkan semula bentuk tubuhnya yang langsing.
“Selain diet dan bersenam, saya juga memakai korset. Ternyata cara tradisional ini membantu saya mendapatkan semula bentuk tubuh yang langsing,” katanya.
Ujar aktres berusia 34 tahun itu lagi, dia turut mengamalkan minum air putih dengan banyak selain mengambil sayur-sayuran dalam diet pemakanan.
“Ketika hamil berat badan saya mencecah 80kg. Selepas dua bulan, berat badan saya turun sehingga 62kg. Saya menyasarkan untuk mendapatkan berat badan ideal iaitu 54kg,” jelasnya.