PUTRAJAYA – Seramai 5,164 kanak-kanak dan ibu bapa masyarakat India B40 mendapat manfaat menerusi agihan RM13,068,862 bagi membiayai yuran pendidikan prasekolah bagi sesi 2022/2023.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, agihan bantuan itu disalurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Beliau berkata, bantuan itu bagi meringankan beban kewangan bagi membiayai pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40 yang berumur antara 4 hingga 6 tahun.
“Geran itu disalurkan melalui lima organisasi melibatkan 214 prasekolah di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.
“Selain pembiayaan yuran persekolahan, bantuan sama turut membabitkan pemberian buku dan lembaran kerja, starter kit (pakaian seragam dan alat tulis) serta subsidi bagi penyediaan sarapan pagi untuk kanak-kanak B40 berkenaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini tadi.
Katanya, bantuan yang diberikan ini bertujuan memastikan kanak-kanak India B40 turut mendapat peluang mengikuti pendidikan pra sekolah sebagai persediaan untuk memasuki pendidikan formal darjah satu kelak.
“Pada masa sama, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa ini.
“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang merangkumi tiga teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran,” katanya. -KOSMO! ONLINE