KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini membatalkan waran tangkap terhadap bekas isteri kepada Pengerusi Eksekutif Naza World, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Emilia Hanafi, atas ketidakhadirannya beberapa kali dalam perbicaraan mahkamah dijadualkan sebelum ini.
Perbicaraan itu adalah berhubung dakwaan Datuk SM Faisal selaku Orang Kena Tuduh (OKT) yang mendatangkan kecederaan kepada Emilia pada tahun 2015.
Majistret Nadia Othman, membatalkan waran tangkap itu selepas berpuas hati dengan penjelasan ibu kepada tiga anak tersebut berhubung ketidakhadirannya beberapa kali dalam prosiding perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini.
Mahkamah turut memberi amaran agar Emilia, tidak menggunakan Sijil Cuti Sakit (MC) sebagai ‘tiket’ untuk tidak hadir ke mahkamah dalam perbicaraan kes kecederaan terhadapnya.
“Waran tangkap dibatalkan dan saya nak memberi amaran kepada pengadu supaya hadir pada tarikh akan datang, saya sentiasa ingatkan kehadiran semua pihak dan mengikut prosedur.
“Sijil cuti sakit (MC) bukan satu tiket untuk tidak hadir ke mahkamah sekiranya perlu sepertimana yang saya minta pada Puan Emilia tadi kemukakan laporan perubatan untuk mengesahkan sakit mengapa tidak hadir ke mahkamah, bicara akan diteruskan dan bicara pada 15 Julai ini,” katanya pada sebutan kes untuk waran tangkap terhadap Emilia.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas Emilia pada 15 Jun selepas berdasarkan penjelasan Emilia di mahkamah hari ini.
Sementara itu, Emilia hadir ke mahkamah dan memberi keterangan dari kandang saksi untuk menjelaskan ketidakhadirannya pada perbicaraan masing-masing bertarikh pada 14 dan 15 Dis 2021; 28 Feb 2022; 4 Mac 2022; 20 April 2022; 20 Mei 2022 dan 16 Jun 2022 berikutan keadaan kesihatan Emilia- KOSMO! ONLINE