GUA MUSANG – Permintaan lembu bersaiz besar atau digelar sebagai gemuk untuk ibadah korban pada tahun ini kurang menjadi pilihan orang ramai kerana harga ruminan itu yang mahal.
Seorang penternak lembu di Kampung Lepan Jaya di sini, Mohd. Saiful Basri Mat Yaakob, 46, mengakui, orang ramai tidak berani membeli lembu tersebut ekoran harganya boleh mencecah RM12,000 sehingga RM20,000 seekor.
Menurutnya, harga lembu miliknya tahun ini turut meningkat dan mencecah RM7,000 berbanding tahun sebelum ini hanya RM3,000 hingga RM5,000 seekor.
Katanya, hanya sembilan ekor lembu sudah dijual sejak bulan Ramadan lalu untuk ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ini.
“Baru-baru ini saya telah menjual empat ekor lembu berharga RM7,000 seekor dan lima ekor lembu berharga RM6,800 seekor.
“Orang ramai tidak berminat untuk beli lembu berharga RM8,000 ke atas kerana disifatkan terlampau mahal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ladang ternakan lembunya di Kampung Lepan Jaya di sini semalam.
Mohd. Saiful Basri berkata, dia menceburi bidang penternakan lembu sejak 25 tahun lalu dan boleh dikatakan harga tahun ini merupakan antara yang tertinggi dijual kepada pelanggan.
Katanya, dia kini mempunyai lebih 40 ekor lembu yang diternak di dalam ladang kelapa sawit miliknya dan tahun ini sangat kos menjaga lembu sangat mencabar.