PETALING JAYA – “Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada, dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini”.
Demikian reaksi penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman selepas pertuduhan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati ditarik. Sebaliknya, Yasin didakwa dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya lagi.
Sementara itu, abang Yassin, Zain Sulaiman,50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur terhadap keputusan tersebut serta perkembangan kes yang dihadapi adiknya.
“Saya harapkan rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yassin,” katanya.
Terdahulu, Yasin bernasib baik apabila terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ia apabila pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, akan dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram. – KOSMO! ONLINE