fbpx

Kerajaan ‘multiverse’ hancurkan kepercayaan saya – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon, Diana Danielle membidas ciapan yang dimuat naik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Diana Danielle membuat pengakuan seolah-olah telah hilang kepercayaan terhadap sistem politik Malaysia.

Isteri kepada pelakon Farid Kamil itu juga bertegas tidak berminat untuk mengambil tahu isu politik negara namun tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengundi.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson itu bagaimanapun menyeru orang ramai menjalankan peranan sebagai rakyat dengan keluar mengundi apabila tiba masanya kelak.

“Biar saya nyatakan di sini: saya akan keluar mengundi dan mempertahankan hak saya tapi saya tidak berminat tentang kemas kini harian berbentuk politik lagi.

“Tolonglah, jangan persendakan undian kami dengan membentuk kerajaan ‘multiverse’. Itulah apa yang menghancurkan kepercayaan saya sebagai seorang rakyat,” coretnya menerusi satu ciapan Twitter.

Tangkap layar interaksi antara pelakon Diana Danielle dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam Twitter yang meraih perhatian warganet.

Menerima reaksi pelbagai disebabkan ciapan berkenaan, Diana, 31, menegaskan, pendapat yang diluahkannya itu adalah bersifat peribadi dan terpulang kepada penerimaan sesiapa yang membaca.

“Apa yang saya ciap hanyalah pendapat peribadi. Betul atau salah, setuju atau tidak, valid (sah) atau sebaliknya, sebenarnya tak penting pun.

“Apa yang saya luahkan itu hanya menyatakan perspektif terkini saya dan perihal itu (perspektif) boleh berubah mengikut masa,” katanya lagi.

Terdahulu, pelakon filem Gol & Gincu Vol. 2 itu membidas ciapan Twitter dimuat naik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan jika rakyat memilih untuk menolak politik, mereka sedang mengorbankan masa depan anak-anak.

Ciap Diana: “Saya menolak sebab tak kisahlah siapa yang saya undi, akan ada kerajaan back door, side door, rotating door, emergency door dan Narnia (dunia fantasi rekaan) dipenuhi dengan mereka yang saya tak undi pun.

“Ambil alih kerajaan dan membiarkan samseng masuk. Apa gunanya?,” ciapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI