SUNGAI memainkan peranan penting kepada alam sekitar kerana ia memberikan kehidupan kepada makhluk yang ada di sekitarnya seperti manusia, flora dan fauna serta haiwan.
Malangnya, manusia gagal menghargai kurniaan yang diberikan oleh Allah ini, mengakibatkan pencemaran berlaku di sungai-sungai pada masa kini.
Menyedari kepentingan sungai, salah satu pengeluar minuman halal terkemuka di Malaysia, Etika Sdn. Bhd. (Etika), bertekad menangani isu itu dengan memperkenalkan kempen Time for Our River demi mengukuhkan lagi komitmen mereka ke arah kelestarian sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.
Kempen tersebut dilakukan hasil kerjasama yang dibuat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mempromosikan rawatan kualiti air sungai melalui pameran menggunakan pendekatan biologi.
Ia dapat mendidik masyarakat di negara ini berkaitan kepentingan pemeliharaan sumber air yang penting ini.
Melalui kempen itu, Etika bekerja rapat dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM melalui program pembersihan sungai yang julung-julung kali dibuat di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi, Selangor baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika, Santharuban Thurai Sundaram berkata, sejak kebelakangan ini, semua orang dapat melihat kemerosotan kualiti air akibat individu yang tidak bertanggungjawab telah mencemari sungai.
Menurutnya, keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tentang bagaimana untuk mengatasinya.
“Setiap daripada kita bertanggungjawab agar keadaan sungai sentiasa bersih dan selamat.
“Bagaimanapun, tidak semua orang mengetahui bagaimana untuk menjaganya dengan baik,” katanya.
Menurutnya, melalui kempen itu, pelajar fakulti FST memainkan peranan mereka untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran tentang bagaimana dapat mencapai objektif tersebut.
Katanya, kempen itu mendapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai.
“Lebih 300 peserta membantu membersihkan sungai dan ini membuktikan, masih ada individu yang ambil peduli tentang alam sekitar.
“Oleh itu, kami yakin dapat meneruskan usaha sebegini selepas ini bagi menjaga sungai untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Sewaktu kempen tersebut juga, pihak penganjur turut menyediakan pameran untuk mendidik masyarakat tentang cara memelihara dan menilai kebersihan sungai melalui pelbagai aktiviti.
Katanya lagi, pihaknya berharap agar kempen itu dapat mempromosi perkhidmatan yang boleh dilakukan untuk pemuliharaan biodiversiti dan penyelesaian berasaskan alam sekitar.
Antaranya seperti demonstrasi pensampelan air dan analisis kualiti air oleh Pusat Analisis dan Penyelidikan Air (ALIR), demonstrasi dron oleh AQUASense dan banyak lagi.
Pada kemuncak kempen tersebut, peserta ‘menghiasi’ tangga di taman rekreasi itu dengan slogan motivasi sebagai peringatan kepada pengunjung yang ingin ke kawasan sungai supaya menjaga kebersihan persekitarannya.
Sementara itu, kempen itu juga merupakan sebahagian daripada usaha Etika untuk menyumbang dalam pemeliharaan sumber planet yang akan mendorong kesan positif dan pengurusan sumber lebih baik pada masa ini dan akan datang.
Dengan pelan hala tuju yang telah dirangka untuk masa depan yang mampan dan berdaya tahan, mereka tekad untuk memenuhi Matlamat Kelestarian Etika.
Ia dilakukan melalui inisiatif projek- projek lain seperti pemasangan panel solar, pembelian tenaga hijau dari grid dan pengurusan sisa tumbuhan untuk dibuat baja.
Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan tapak pelupusan dan usaha lain yang mengurangkan pelepasan karbon, selain menjimatkan air.
Santharuban menambah, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan amalan dan inisiatif kelestarian sejajar dengan misi menjadi sebuah syarikat yang lebih hijau untuk pengguna, komuniti dan alam sekitar.
Ujarnya, usaha seperti itu boleh membentuk organisasi yang mampan bagi pihaknya, sebagai salah satu jenama terkemuka dalam industri berkaitan.
“Untuk itu, kami perlu memberi kesan pada skala lebih besar dalam menangani pelbagai cabaran dari segi alam sekitar dan kemasyarakatan.
“Oleh kerana sungai adalah kurniaan alam yang tiada ganti, kami ingin memastikan ia dijaga sebaik mungkin.
“Ia seperti yang kami lakukan pada kempen seperti ini, membawa impian masa depan yang hijau dipenuhi sungai dan lautan jernih.
“Selain itu, persekitaran dikelilingi hutan dipenuhi kehidupan untuk generasi akan datang turut menjadi impian semua orang,” ujarnya.