fbpx

Keluarga, jiran nafi tukang cuci kapal terlibat dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosman (kanan) menafikan dakwaan masyarakat bahawa menantunya terlibat dadah ketika insiden bunuh anak serta cucunya dalam kejadian di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Keluarga kepada suspek yang mengelar isteri dan bayi lelaki di Kampung Bakar Batu, kelmarin menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa lelaki itu bertindak kerana berada di bawah pengaruh dadah.

Adik kepada suspek, Aiman Adam, 18, memberitahu, abangnya yang dikenali keluarga selama ini tidak pernah mempunyai masalah melibatkan penyalahgunaan bahan terlarang sejak daripada dahulu lagi.

“Saya terkejut dengan kejadian ini, abang bukan jenis pemarah, dia juga tidak ada terlibat dengan dadah, tiada,” katanya ketika ditemui di Kampung Bakar Batu, di sini semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, turut meminta masyarakat untuk tidak mengeluarkan komen-komen berbentuk negatif khususnya melibatkan mangsa dan juga suspek yang merupakan menantunya.

“Dakwaan suspek ada mengambil dadah, itu hak orang nak cakap apa tetapi hanya kita (ahli keluarga) yang tahu cerita sebenar, masyarakat nak kata apa saya tidak boleh kawal tetapi kesannya adalah pada keluarga besan saya.

“Jadi jika boleh saya minta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian yang bukan-bukan. Saya bapa mertua suspek sendiri pun tidak berfikiran begitu kerana kita kenal dia baik sahaja.

“Biarlah apa yang berlaku telahpun ditentukan oleh Allah, saya reda dan terima semuanya,” ujarnya.

Sementara itu, jiran mangsa, Roziyana Ramli, 37, turut memberitahu dia sudah mengenali suspek dan juga keluarga suspek sejak dahulu lagi, dan tiada tanda-tanda suspek menagih dadah.

“Suspek itu agak pendiam, tetapi orangnya baik dan tidak sombong, jika terserempak dia akan senyum dan lambai tangan, tidak pernah nampak bermasam muka.

“Sepanjangan mengenali suspek juga, dia langsung tiada tanda-tanda seperti ada menagih dadah atau ada mengambil apa-apa bahan terlarang.

“Jadi saya terkejut juga apabila perkara seperti ini berlaku, namun apa yang saya tahu dia memang orang yang baik, normal sahaja seperti orang-orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan bahawa suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga negatif. Dia juga tiada sebarang rekod penyalahgunaan dadah.

“Sementara itu, tertuduh akan dibawa untuk menjalani ujian pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai bagi mendapatkan laporan perubatan terlebih dahulu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI