KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei tekad untuk menampilkan aksi terbaiknya menjelang pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters menentang jaguh dari Taiwan, Tai Tzu Ying esok.
Meskipun bakal berdepan aksi sukar, namun bekas pemain No.1 Malaysia itu mahu memberi tekanan terhadap juara Asia dua kali tersebut dalam usaha melayakkan diri ke pusingan suku akhir.
Justeru, Jin Wei berharap penonton-penonton di Arena Axiata akan berada di belakang sepanjang perlawanan bagi membantu dia melakar kejutan dengan menyingkirkan pemain No.2 dunia itu.
“Aksi menentang Tzu Ying esok, saya akan cuba untuk memastikan setiap pukulan menghasilkan mata. Saya juga sedia menampilkan aksi terbaik dan cuba untuk menewaskannya.
“Kami pernah bertemu sebelum ini tetapi saya akan cuba berikan tekanan kepada Tzu Ying. Saya harap semua penyokong akan memberi sokongan selain mahu belajar sesuatu daripadanya,” kata Jin Wei selepas tamat perlawanan hari ini.
Sebagai rekod, kedua-dua pemain pernah bertemu sebelum ini pada kejohanan Terbuka Malaysia 2018 dengan keputusan memihak kepada Tzu Ying menerusi kemenangan 21-15, 21-15.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung hari ini, Jin Wei dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen 21-19, 21-18.
Turut melayakkan diri ke pusingan kedua esok adalah perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong yang mencatat kemenangan ke atas wakil Kanada, Brian Yang 21-15, 21-15.
Bagaimanapun, dua lagi perseorangan lelaki, Soong Joo Ven dan Liew Daren gagal untuk mengikut jejak langkah Jin Wei ke pusingan kedua selepas tewas kepada lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE