SEPANG- Agensi pelancongan menguruskan sebilangan jemaah haji yang gagal terbang ke Tanah Suci semalam ekoran didakwa tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap termasuk visa sudah memulangkan kembali wang pakej kepada individu terlibat.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman berkata, agensi terlibat telah memulangkan wang pakej kepada jemaah terlibat selepas satu laporan polis dibuat semalam.
“Jemaah terlibat menggunakan perkhidmatan agensi swasta untuk ke Tanah Suci dan bukannya menerusi Tabung Haji (TH). Bagaimanapun, ketika hari keberangkatan, mereka gagal terbang atas beberapa faktor termasuk tiada pesawat.
“Kita percaya, jemaah membuat laporan kepada polis kerana merasakan mereka ditipu dan tidak berpuas hati dengan agensi pelancongan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Katanya, selepas jemaah membuat laporan kepada polis, pihak agensi tersebut tampil untuk membuat pemulangan wang kepada jemaah berkenaan.
“Pengadu juga telah menarik balik laporan polis semalam selepas menerima kembali wang pakej daripada agensi pelancongan itu,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pakej dibeli pengadu itu, Imran berkata, pihaknya percaya pakej ke Tanah Suci itu melibatkan visa jenis furada.
“Bagaimanapun, kami tidak mempunyai butiran lanjut mengenai pakej yang dibeli daripada agensi pelancongan itu,” jelasnya.
Semalam tular satu video di laman media sosial memaparkan sekumpulan bakal jemaah haji berkumpul di pekarangan Pusat Konvensyen Movenpick di sini selepas mendakwa gagal terbang ke Tanah Suci ekoran ketiadaan visa dan pasport.
Sebelum ini, umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji. -KOSMO! ONLINE