fbpx

Caj bukan-bukan runsingkan pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU kenaikan harga barang terutama membabitkan makanan asas seperti ayam, telur ayam serta minyak masak terus menghantui pengguna.

Rata-rata pengguna mengeluh kerana dibelenggu dengan masalah itu pada ketika mereka baru sahaja bangkit selepas berdepan kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Keresahan dan rasa tidak puas hati mereka dapat dilihat apabila isu kenaikan harga barang ba­nyak diperkatakan di media sosial.

Apa tidaknya, meskipun kerajaan menetapkan harga siling runcit bagi ayam standard di Semenanjung Malaysia pada kadar RM9.40 sekilogram sejak 1 Julai lalu, namun masih ramai peniaga yang tidak mematuhi penetapan harga tersebut.

Tinjauan yang dilakukan di beberapa gerai di Alor Setar dan Sungai Petani mendapati peniaga menjual bahan mentah itu pada harga melebihi RM11 sekilogram dan pada masa sama tidak lagi mengenakan caj pemprosesan ayam.

Harga siling bagi ayam yang ditetapkan kerajaan biasanya dipatuhi oleh pasar raya besar.
Selain kenaikan harga barang, terdapat juga peniaga mengenakan caj yang bukan-bukan kepada pengguna.

Sebagai contoh, ada peniaga menjual kotak pengisian telur pada harga 30 sen. Jika beli kotak pengisian bersama penutup, pengguna akan dicaj 60 sen.

Malah, pernah berlaku peniaga menjual minyak masak peket pada harga RM2.55 sen berbanding harga sepatutnya RM2.50 sekilogram sebagai caj beg plastik.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya melihat kenaikan harga barang sangat membebankan pengguna.

“Kenaikan harga barang ini sebenarnya sudah berlaku sebelum ini lagi. Apabila harga makanan asas seperti ayam, telur, minyak masak ini naik, maka barangan lain berasaskan bahan tersebut akan turut naik.

“Kita juga melihat ada peniaga yang tidak mematuhi harga siling ditetapkan kerajaan, seterusnya menyebabkan kenaikan harga ini berlaku dengan berleluasa,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyelar tindakan peniaga yang mengenakan caj pelik kepada pengguna termasuk bagi kotak telur tersebut.

“Kita lihat peniaga semakin kreatif mencari pendapatan lebih dan ia mungkin juga di­sebabkan oleh kos yang terpaksa ditanggung mereka di pihak pemborong,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu lebih aktif dan tegas dalam menangani isu kenaikan harga barang dan kedegilan peniaga untuk mematuhi harga siling ditetapkan.

“Ambil tindakan tegas dan lihat semula penglibatan banyak orang tengah sehingga menyebabkan harga di peringkat runcit melambung tinggi,” jelasnya.

Selain itu, Mohamad Yusrizal turut meminta kerajaan lebih proaktif dalam mengekang penyeludupan barang bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI