BALING – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau tidak mahu terlibat dengan sikap saling menyalahi atau bermain ‘blame game’ berhubung kejadian kepala air sehingga meragut tiga nyawa serta menjejaskan lebih 600 penduduk di daerah ini kelmarin.
Katanya, beliau sentiasa berpegang kepada fakta dan angka serta hanya akan membuat kenyataan berhubung perkara itu setelah mendapat laporan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Ujarnya, jika berhasrat untuk menjadi popular, beliau boleh memilih untuk mengikut kata-kata netizen yang memberikannya laluan lebih mudah untuk menang dalam pilihan raya.
“Tetapi saya bukan nak popular sebaliknya nak memimpin. Kepimpinan saya pula mesti berdasarkan fakta serta laporan rasmi daripada jabatan serta agensi berkaitan.
“Bila laporan tidak ada lagi, saya tak boleh bercakap dan kita tunggu sekejap. Mereka semua nak salahkan ladang musang king tetapi saya kata Gunung Jerai tiada musang king, penggondolan dan pembalakan tetapi fenomena kepala air tetap juga berlaku.
“Kedua-dua lokasi itu berbeza tetapi fenomenanya sama iaitu aliran air dalam kuantiti banyak pada waktu sama,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Baling di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.