KEMAMAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesahkan pengesanan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) pada koloni babi hutan di kawasan hutan sekitar Air Putih di sini sejak dua minggu lalu.
Pengarah JPV negeri, Dr. Anun Man berkata, sebanyak 91 ekor babi hutan mati, ekoran dijangkiti penyakit itu setakat Khamis lalu.
“Kita telah mengesan kematian beberapa ekor babi hutan di kawasan hutan yang jauh dari penempatan manusia itu sejak 20 Jun lalu.
“Keputusan terhadap sampel bangkai haiwan liar tersebut pada seminggu kemudian telah mengesahkan kematian itu disebabkan jangkitan ASF,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Anun berkata, siasatan awal percaya penularan penyakit tersebut disyaki berpunca daripada aliran air dan bawaan makanan daripada haiwan dari Taman Negara Jerantut, Pahang.
Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang membuat kawalan dan pemantauan di sekitar 10 kilometer dari lokasi penyakit tersebut dikesan.
“Ia bertujuan bagi mengekang penyakit tersebut daripada terus menular sekali gus membunuh lebih banyak lagi haiwan liar berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE