KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters selepas mencatat kemenangan ke atas gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.
Pada aksi pusingan pertama di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi, V Shem-Wee Kiong dipaksa bekerja keras sebelum menang dalam aksi tiga set 15-21, 21-14, 21-19.
V Shem nyata gembira dengan kemenangan tersebut kerana menganggap ia adalah keputusan mengejutkan, lebih-lebih lagi prestasi mereka berdua tidak konsisten sejak enam bulan lalu.
“Memang dengan gembira dengan kemenangan hari ini kerana kami berdepan tentangan cukup sengit, bagaimanapun mereka mula berada dalam tekanan pada set kedua dan kami ambil peluang tersebut.
“Sorakan penyokong juga sangat membantu kami dan itulah kelebihan apabila bermain di laman sendiri. Saya anggap kemenangan ini sebagai permulaan baik dan ia beri keyakinan kepada kami,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, tiga lagi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chang Yee Jun-Yap Roy King turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.
Bagaimanapun, hasrat satu lagi beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk menebus kekalahan kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada Terbuka Malaysia lalu tidak kesampaian apabila tewas 14-21, 20-22.-KOSMO! ONLINE