JOHANNESBURG, AFRIKA SELATAN – Seorang jurutera kimia di Afrika Selatan menemui cara baharu menghasilkan tepung untuk digunakan dalam pembuatan makanan, iaitu dengan menggunakan ulat bulu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Wendy Vesela berkata, ulat bulu yang digunakan itu berwarna hijau dan hitam serta lebih dikenali sebagai ‘cacing mopane’. Ia boleh menghasilkan tepung untuk membuat biskut, bar protein coklat, bijirin sarapan atau minuman smoothie.
Apabila dikukus dan dipotong, potongan ulat bulu itu boleh digunakan sebagai salah satu bahan yang ditabur di atas piza.
Bagi kebanyakan orang terutamanya di Eropah, idea untuk memakan ulat bulu adalah sesuatu yang menakutkan.
Bagaimanapun Vesela berkata, serangga itu merupakan sumber nutrisi yang berharga selain proses penternakannya tidak memudaratkan alam sekitar.
Menurut Vesela, dia telah menemui beberapa pelanggan domestik dan antarabangsa bagi mencuba produk organik yang dihasilkannya.
Menurut ahli antropologi makanan, Anna Trapido, makanan itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu lagi trend makanan biasa. Ia sebaliknya, kata Trapido, adalah pengembaraan di mana seseorang mendapat pengiktirafan jika menikmatinya.
“Cacing mopane perlu dimakan dengan penuh rasa hormat kerana ia adalah sebahagian daripada emosi orang ramai, kerohanian dan sejenis kulinari,” ujarnya.
Mopane adalah baik untuk alam sekitar kerana tidak memerlukan air atau tanah tambahan disebabkan ia membiak dan makan daun pokok mopane. Tumbuhan itu kebiasaannya tumbuh di wilayah yang panas dan kering di selatan Afrika. – Agensi