JOHOR BAHRU – Bapa mentua kepada suspek yang disyaki mengelar isteri dan bayi lelakinya mengaku tidak menyimpan dendam terhadap Amir Adam, 25, yang melakukan perbuatan berkenaan, tengah hari semalam.
Pemilik restoran, Rosman Ahmad, 58, berkata, pihaknya juga tidak menyimpan sebarang dendam terhadap keluarga suspek dan besannya, Adam Abdullah, 55, atas kejadian yang menimpa mereka.
Menurutnya, besannya itu telah meminta maaf kepada dirinya dan ahli keluarga yang lain beberapa kali selepas mengetahui perkara yang berlaku.
“Dia (besan) kerap menghubungi saya sejak kejadian semalam dan meminta maaf, saya maafkan dan tidak berdendam kerana siapalah kita untuk mengadili sesuatu yang kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Alhamdulillah, dia (suspek) layan kami sekeluarga, layan saya dan isteri dengan sangat baik, kami kerap berjumpa dimana kali terakhir bertemu adalah minggu lepas bagi membincangkan majlis resepsi mereka yang dijadualkan pada 24 Julai ini.
“Sebenarnya, semasa dia menunggang motosikal tanpa baju ke Perling selepas melakukan perbuatan itu, dia berpatah balik semula dan menuju ke kedai makan saya di Permas Jaya, kemungkinan untuk meminta maaf.
“Namun saya tiada di sana kerana sedang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Sementara itu, Rosman turut memberitahu, menantunya berkemungkinan bertindak sedemikian kerana terdapat pengaruh lain di tempat kerjanya yang baharu.
“Saya tidak berapa pasti cuma ada anak buah yang beritahu sebelum ini tempat kerjanya yang baharu sedikit ‘keras’, tetapi saya tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu. Biarlah perkara yang sudah berlaku itu,” ujarnya.
Tambah Rosman lagi, pihaknya telah membatalkan majlis resepsi Allahyarham Hajar Nursyahirin dan majlis akikah Hans Mohd. Thakif yang dijadualkan pada 24 Julai ini.
“Namun, majlis kakaknya iaitu anak kedua saya yang dijadualkan sehari sebelum iaitu pada 23 Julai ini akan diteruskan tetapi hanya melibatkan majlis pernikahan dan majlis tahlil sahaja, yang lain kita tangguh dahulu,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE