BALING – Seorang bekas kontraktor landskap kini mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit selepas mengusahakan tanaman terung menerusi kaedah fertigasi di Kampung Tembak B, Kuala Ketil dekat sini sejak dua tahun lalu.
Rahani Abu Ahmad, 61, tekad beralih ke bidang pertanian selepas kehilangan peluang pekerjaan atau projek akibat kelesuan ekonomi berikutan pandemik Covid-19.
“Pada mulanya saya takut kerana tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, namun selepas hilang punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan saya memberanikan diri menanam terung melalui kaedah fertigasi.
“Alhamdulillah akhirnya terung yang ditanam di dalam beg poli di kawasan sekeliling rumah menjadi punca pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya di sini semalam.
Katanya, usaha tersebut mendapat sokongan isterinya, Hariyah Mohd, 58, yang membantu daripada proses menanam benih sehingga peringkat penjagaan tanaman dan menuai hasil.
“Dua anak saya berusia 38 dan 32 tahun pula menjual sendiri terung di pasar pagi Pulau Pinang dan Taman Ria di Sungai Petani.
“Tanaman menggunakan kaedah beg poli ini tidak sesukar menanam di atas tanah yang memerlukan perhatian setiap masa termasuk daripada segi penjagaannya.
“Air, racun dan baja semuanya disalurkan melalui paip dan kerja ini boleh dilakukan bila-bila masa secara berseorangan,” ujarnya.
Rahani berkata, pada peringkat awal, dia turut menanam cili, timun dan kacang bendi tetapi selepas mendapati terung mendapat permintaan tinggi, dia kini mengusahakan tanaman itu sepenuhnya berjumlah 2,000 beg poli.
“Dua hari sekali kami menuai hasil dan pokok terung ini mempunyai jangka hayat selama tujuh bulan membuatkan saya tidak lagi bimbang dengan pendapatan jangka masa panjang,” katanya.