JOHOR BAHRU – Rata-rata penghuni yang mendiami Pangsapuri Impian Jauhar di sini melahirkan rasa kecewa apabila kediaman yang baharu diduduki itu didakwa mengalami banyak masalah.
Situasi itu menyebabkan mereka memohon kepada pihak pemaju perumahan untuk bertanggungjawab dan membaiki segala kerosakan yang berlaku dengan segera.
Seorang penduduk, Iman Nurudinn Azmi, 30, berkata, dia membeli kediaman tersebut pada harga RM150,000 menerusi program Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ).
Katanya, rumah yang dijadualkan siap pada Disember 2019 itu telah tertangguh sejak beberapa tahun, sebelum penduduk mula mendapat kunci kediaman masing-masing secara berperingkat bermula Disember tahun lalu.
“Bukan sahaja persekitaran berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus, tetapi banyak masalah telah berlaku walaupun perumahan ini baharu diduduki beberapa bulan.
“Antara kerosakan ketara adalah kebanyakan rumah mengalami keretakan, selain masalah kebocoran pada paip terutama di bilik air.
“Isu menjadi lebih parah apabila aduan yang dibuat kepada pemaju seolah-olah tidak diendahkan, sedangkan rumah ini masih dalam tempoh jaminan oleh pemaju,” katanya yang menghuni tingkat 5 kediaman berkenaan.
Dakwa Iman Nurudinn, pihak kontraktor pula hanya mengambil jalan mudah dengan mengecat semula keretakan yang berlaku, sedangkan masalah utama dan punca retak itu dibiarkan sahaja.
Seorang penduduk, Chong Kwong Chin, 32, pula memberitahu, sebuah blok diperuntukkan sebanyak tiga lif, namun kemudahan itu kerap rosak sehingga menyusahkan penghuni.
“Saya mula duduk di kawasan ini sejak bulan Mei lalu, namun dalam tempoh sebulan lebih ini, sudah dua kali ketiga-tiga lif blok saya rosak, memaksa penduduk menggunakan tangga.
“Setelah aduan dibuat dan lif berkenaan dibaiki, namun berlaku lagi kerosakan pada satu lif,” katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, Aznor Hidayah Ahmad, 37, mereka membuat gesaan agar kerosakan yang berlaku dibaiki segera kerana telah membayar wang penyelenggaraan sebanyak RM105.60 sebulan sejak Disember tahun lalu.
“Hendak kata penduduk tidak bayar wang penyelenggaraan, ramai yang bayar tetapi tiada tindakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak Johor Land ketika dihubungi berjanji akan menyiasat segera dakwaan para penghuni pangsapuri berkenaan.
Justeru, pihaknya tidak dapat memberikan ulasan lanjut tentang isu tersebut.