JOHOR BAHRU – Orang ramai terutamanya golongan B40 mendesak kerajaan supaya mengembalikan subsidi minyak masak botol berikutan harga barangan berkenaan yang meningkat mendadak.
Seorang pengguna, D. Dinesh, 34, berkata, peningkatan harga itu menyukarkan dirinya dalam menguruskan perbelanjaan keluarga kerana hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Perbelanjaan keluarga makin meningkat sejak 1 Julai lagi. Melihat harga minyak botol 5 kilogram (kg) dijual lebih RM40, buat saya terduduk. Minyak masak peket pula susah nak dapat,” katanya.
Gesaan sama disuarakan Md. Arif Yauni, 70, yang memberitahu, peningkatan harga minyak botol memberi kesan kepada perniagaan sarapan pagi yang memerlukan 3kg minyak masak sehari.
“Saya dan keluarga berniaga nasi lemak dengan beberapa pilihan lauk seperti ayam goreng, telur goreng dan telur rebus.
“Jadi apabila harga ketiga-tiga barangan itu meningkat dengan mendadak, perniagaan saya amat terkesan, tidak tergamak hendak naikkan lagi harga makanan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan, Rozidah Amat, 60, berkata, dia terpaksa pergi ke beberapa kedai dan pasar raya untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket.
“Sangat sukar untuk dapatkan minyak peket, jadi terpaksa juga beli minyak botol walaupun harganya mahal,” ujarnya.
Sejak 1 Julai lalu, kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak botol selain menetapkan harga siling ayam dan telur baharu.