MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan dua variasi Menu Keluarga UTeM yang masing-masing berharga RM3 dan RM4 demi menjaga kebajikan para pelajar.
Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, menu tersebut terdiri daripada makanan berat dan berkhasiat merangkumi set nasi berlauk bersama air.
Katanya, pihak universiti mengambil langkah proaktif untuk mengawal kenaikan harga makanan serta minuman dalam kampus dengan memperkenalkan strategi dan langkah kawalan yang efektif.
“Bagi memantapkan kawalan harga makanan dan terus cakna kebajikan pelajar yang kebanyakannya dalam golongan B40, maka kami turut melaksanakan sistem pemberian bantuan makanan kepada pelajar B40.
“Ini bagi memastikan para pelajar tidak terbeban walaupun dunia dan negara sedang menghadapi gelombang kenaikan harga barangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Massila, kebajikan pengusaha kafetaria turut mendapat pembelaan sewajarnya kerana mereka berhadapan dengan kenaikan harga barangan, namun tetap perlu mengekalkan harga makanan pada kadar sedia ada.
Justeru katanya, UTeM bersetuju memberikan pengecualian sewa bulanan bermula Julai sehingga Disember tahun ini bagi meringankan bebas kos pengusaha kafeteria.
“Pihak UTeM bersama pelajar-pelajarnya serta pengusaha kafetaria adalah di bawah persekitaran keluarga UTeM yang sentiasa prihatin dan berganding erat antara satu sama lain bagi mewujudkan situasi menang-menang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE