TANJUNG MALIM – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melihat terlebih dahulu keperluan menambah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) ekoran kenaikkan kos sara diri pelajar.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Mohamad berkata, pihak kementerian juga tidak menolak kemungkinan untuk berbincang dengan PTPTN berkenaan perkara tersebut.
“Ya, kita akan lihat perkara ini (menambah pinjaman serta berbincang dengan PTPTN). Insya-Allah,” jawabnya ringkas selepas hadir meninjau harga makanan di Kafe Kolej Kediaman Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Masrizal berkata, KPT akan melihat terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPTA mulai bulan ini yang diumumkan Menterinya Datuk Seri Noraini Ahmad semalam.
Noraini dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi memastikan tanggungan kos sewaan tersebut boleh diserap bagi menurunkan harga makanan dijual kepada pelajar.
Menurut Ahmad Masrizal, penyelesaian membabitkan kenaikkan harga makanan di IPT adalah bersifat peringkat demi peringkat dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pihak universiti terlibat.
“Betul, kita akan dapatkan maklum balas dan sebagainya. Sebab itu saya cakap pentingnya hubungan antara MPP dengan pihak universiti dan juga pihak lain dalam kampus termasuk pengusaha makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE