fbpx

KPT teruskan inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0 di lobi bangunan KPT di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini memutuskan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia bagi memastikan kebajikan pelajar terus disantuni agar proses pembelajaran dan pengajaran di kampus tidak terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi tempoh pertengahan pertama 2022 sehingga Jun lalu, sebanyak 369,504 baucar makanan telah diedarkan untuk manfaat seramai 176,083 orang pelajar universiti awam (UA) menerusi inisiatif tersebut.

“Pelaksanaan inisiatif ini telah disokong melalui sumber peruntukan dalaman sebanyak RM5.5 juta hasil sumbangan wakaf, zakat, tajaan individu dan agensi-agensi kebajikan.

“Cakna akan kenaikan harga barang yang turut memberi impak terhadap kuasa beli pelajar terutamanya bagi memenuhi keperluan makanan harian, KPT memutuskan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif itu dan melancarkan FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0 pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0 di lobi bangunan KPT di sini hari ini.

Noraini berkata, kesinambungan inisiatif tersebut turut direalisasikan dengan kerjasama erat dan sumbangan signifikan daripada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (YKS) yang telah bersetuju untuk menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta lagi bagi memastikan kelestarian inisiatif ini,” katanya.

“Inisiatif ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 2021 lagi di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Melalui inisiatif ini, sebanyak 470,444 baucar makanan percuma telah diberikan kepada 94,088 orang pelajar B40 bersasar di semua IPT melalui suntikan dana berjumlah RM7,056,660,” ujar beliau.

Menurut Noraini, setakat 31 Mac lalu, jumlah pelajar kategori B40 di UA, politeknik dan kolej komuniti pada tahun 2021 adalah seramai 445,000 orang atau 79.26 peratus daripada keseluruhan enrolmen lebih 560,000 pelajar.

“Penentuan pelajar B40 oleh KPT dibuat berdasarkan kumpulan pendapatan keluarga iaitu isi rumah berpendapatan di bawah RM4,850 seperti mana yang diguna pakai dalam Laporan Anggaran
Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Sebagai sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia, kerajaan amat prihatin dengan aspek kebajikan pelajar terutamanya dalam kalangan B40 justeru pelbagai program berbentuk bantuan juga intervensi telah dirangka dan dilaksanakan bagi tujuan menyantuni kebajikan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI