BACHOK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan 60,000 metrik tan minyak masak bersubsidi dijual pada sukatan timbangan dan harga yang ditetapkan untuk mengelakkan penyelewengan ke negara jiran menerusi aktiviti penyeludupan.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pemantauan itu dilakukan dengan pemantauan menerusi Op Penaziran yang dilakukan bermula daripada peringkat pengilang sehingga ke peruncit minyak masak bersubsidi.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan bekalan minyak masak sampai kepada rakyat di negara ini sekali gus mengelakkan warga asing menikmati subsidi disediakan oleh kerajaan.
“Sebanyak 22 pengilang minyak masak di seluruh negara termasuk pembungkus berlesen (305), syarikat pemborong (4,151) dan peruncit (lebih 30,000). Kesemua mereka ini tidak akan terkecuali akan dipantau melalui Op Penaziran.
“KPDNHEP akan meneliti setiap rekod penghantaran dan urusan jual beli di semua peringkat pengeluar minyak masak sehingga kepada peruncit. Agensi penguat kuasa seperti polis dan tentera turut akan memantau di kawasan sempadan negara,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Kilang Pembungkusan Minyak Masak Tanjung Pauh Trading di Beris Kubur Besar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkara, transaksi jualan minyak masak bersubsidi secara runcit akan turut diteliti selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan pada Januari tahun lalu.
Katanya, arahan itu menetapkan setiap keluarga dihadkan untuk membeli tiga kilogram atau tiga bungkusan minyak masak sahaja.
“Ia bertujuan mengawal pembelian melebihi had keperluan selain mengawal ketat bahan bersubsidi diselewengkan untuk dijual ke negara jiran.
“Selain itu, orang ramai turut diminta menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan kepada KPDNHEP jika berlakunya penjualan melebihi harga yang ditetapkan, kegiatan menyembunyi, penyelewengan termasuk aktiviti penyeludupan untuk tindakan segera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE