LONDON – Seorang gadis jelita berumur 18 tahun di England mengejutkan ramai orang apabila mendedahkan bahawa dia bekerja sebagai buruh binaan yang menyusun batu-bata, lapor akhbar New York Post semalam.
Francesca Hawley dari Sheffield berkata, orang lain sering terkejut atau meluahkan rasa tidak percaya apabila dia memberitahu pekerjaannya.
“Apabila orang bertanya apa yang saya lakukan dan saya beritahu mereka saya ialah buruh binaan mereka jadi terdiam. Mereka tidak percaya dan menganggap saya berbohong.
“Idola saya dalam kerjaya ini ialah ayah yang membantu saya mencari pekerjaan impian saya sebagai pekerja pembinaan,” jelasnya.
Namun, seperti juga remaja perempuan lain, Hawley tidak melupakan sisi kewanitaannya. Selepas waktu bekerja tamat, dia akan menukar penampilan menjadi gadis biasa dengan menyarung kasut tumit tinggi bersama mini skirt.
“Dari pukul 8 pagi hingga jam 6 petang, saya kelihatan seperti buruh binaan yang comot dan kemudian pada hujung minggu, saya sebenarnya seperti seorang gadis yang memakai gaun dan kasut tumit tinggi lengkap dengan solekan,” ujarnya. – Agensi