MADRID – Pengendali Barcelona, Xavi mendedahkan enam pemainnya kini sudah boleh memikirkan tentang masa depan bersama pasukan lain kerana tidak lagi berada dalam perancangannya bagi menghadapi musim depan.
Kesemua pemain berkenaan adalah Riqui Puig, Neto, Oscar Mingueza, Clement Lenglet, Samuel Umtiti dan Moussa Wague, malah para pemain itu juga sudah dimaklumkan bahawa mereka tidak lagi berada dalam senarai diperlukan.
Menerusi perubahan besar yang bakal dilakukan, Xavi berharap ia akan mengubah nasib Barcelona dan kesemua pemain berkenaan juga sudah mengetahui nasib masing-masing
Menurut laporan, Xavi kini lebih berminat untuk bermula dari bawah dan kesemua mereka kini diberi peluang untuk menentukan masa depan serta mencari kelab lain yang mampu menawarkan minit permainan.
Di sebalik keputusan untuk menyingkirkan pemain-pemain berkenaan, bekas tonggak antarabangsa Sepanyol itu tetap mengharapkan mampu membawa masuk sekurang-kurangnya lima lagi pemain.
Ketika ini, Lenglet sudah pun dikaitkan bakal berhijrah ke Tottenham Hotspur, namun pemain lain mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk keluar dari Camp Nou.
Umtiti dikatakan hampir pasti akan dipinjamkan ke kelab lain di Sepanyol, manakala Wague yang baharu saja kembali daripada kecederaan mungkin sukar untuk mendapatkan kelab baharu.
– AGENSI