fbpx

Datuk berkorban jaga tiga cucu yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Supat (kanan) bersama tiga cucu yang kini dalam jagaannya ketika ditemui di Kampung Permatang Palas, Benut baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang warga emas merayu kepada orang ramai supaya menghulurkan bantuan ekoran dia terpaksa menjadi penjaga kepada tiga cucunya selepas ibu bapa kanak-kanak itu meninggal dunia akibat Covid-19.

Supat Palal, 68, berkata, anak perempuannya, Siti Rohaya, 29, dan suaminya, Mohd. Norizan Wahab, 42, meninggal dunia se­lang dua bulan pada tahun lalu.

Katanya, sejak itu, dia terpak­sa membela cucu-cucunya iaitu Muhammad Adam Fikri Abdullah, 12; Nur Aniesya Amie Mohd. Norizan, 9, dan Nur Aisya Alifa Mohd. Norizan, 5.

“Isteri saya, Nora Sarbini, 56, juga meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 selang dua minggu selepas Siti Rohaya.

“Saya sifatkan tahun lepas sebagai tahun yang memilukan kami, bukan sahaja kehilangan isteri tetapi juga anak perempuan dan menantu yang bekerja sebagai pemandu lori,” katanya.

Supat ditemui ketika me­nerima lawatan ziarah kasih oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di rumahnya di Kampung Permatang Palas, Benut, di sini baru-baru ini.

Tambah Supat, selain Siti Rohaya, dia mempunyai empat lagi anaknya yang tinggal di luar kampung kerana masing-masing te­lah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Sebagai datuk, saya mengambil tanggungjawab bagi menghantar cucu ke sekolah pada waktu pagi dan petang yang menyebabkan saya tidak dapat be­kerja se­perti biasa setelah ketiadaan ibu bapa mereka.

“Begitu juga dengan keperluan harian mereka termasuk menyediakan makan dan minum setiap hari selain membasuh pakaian mereka,” ujarnya lagi.

Katanya, pendapatan mengusahakan kebun kelapa sawit kira-kira RM1,000 sebulan digunakan bagi perbelanjaan seharian selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tiga beradik sebanyak RM500 sebulan.

Menurut Supat, dalam sehari dia akan berulang alik menghantar Muhammad Adam Fikri yang bersekolah di Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia di Kampung Permatang Duku.

“Nur Aniesya Amie pula bersekolah di SK Seri Jaya di Kampung Permatang Sepam pada waktu pagi dan juga bersekolah di Sekolah Agama pada sebelah petang.

“Disebabkan itu, saya tidak boleh menumpukan kepada kerja seharian kerana menguruskan cucu-cucunya yang memerlukan perhatian pada setiap masa,” jelas Supat.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Supat di talian 011-5853 9012 atau pergi ke rumahnya di Kampung Permatang Palas Darat, Benut untuk sebarang penyerahan sumbangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI