BALING – Dakwaan mengaitkan projek ladang durian berkualiti tinggi di Gunung Inas sebagai punca kejadian kepala air dan banjir sehingga meragut tiga nyawa di Kampung Iboi di sini semalam belum dapat disahkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dakwaan tersebut memerlukan penelitian lebih terperinci termasuk daripada segi saintifik serta bukti nyata.
“Jangan longgok ‘kat’ dia (ladang durian) semua, kesian dia juga. Saya bukan kesian kerana apa tetapi kalau kita tidak dapat sahkan secara saintifik atau bukti nyata tetapi tiba-tiba buat kenyataan begitu, tak adillah.
“Pada 2020 saya telah arahkan pengusaha ladang durian itu supaya segera tanam tanaman tutup bumi di kawasan yang telah digondolkan dan saya dapati ada tanaman tutup bumi di situ.
“Mungkin tutup bumi itu tidak mampu serap aliran air yang banyak, maka berlakulah apa yang telah berlaku. Kita akan tengok perkara itu kemudian,” katanya pada sidang akhbar berkaitan bencana itu di Tabika Kemas Kampung Bendang Bechah dekat sini hari ini
Mengulas lanjut, katanya, kejadian yang berlaku petang kelmarin itu menyamai fenomena aliran puing yang berlaku di Gunung Jerai pada tahun lalu.
Menurutnya, menerusi gambar dilihatnya yang diambil dari helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), penampan dibina penduduk untuk menakung air masyarakat di gunung itu masih ada, namun kini dipenuhi timbunan pasir.
“Penampan air digunakan pengusaha tanaman durian juga tidak pecah. Itu bermaksud aliran air yang membentuk kepala air semalam adalah air yang terkumpul di alur-alur sepanjang Gunung Inas sebelum mengalir serentak ke bawah.
“Air itu disekat reba kayu dulu sebelum mengalir serentak ke bawah dan itulah yang membentuk kepala air. Fenomena ini menyamai kejadian yang berlaku di Gunung Jerai pada tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE